INTONASI
Intonasi ialah
nada turun naik dalam sesuatu ayat. Intonasi berbeza-beza mengikut jenis-jenis
ayat yang digunakan. Intonasi yang betul boleh membezakan maksud dan objek
dalam sesuatu pengucapan.
Intonasi dalam
ayat
Intonasi
pengucapan dengan jelas dapat dilihat melalui ayat-ayat berikut:
1 . Ayat Penyata
2 . Ayat Tanya
3 . Ayat Perintah,
4 . Ayat Seruan
Dalam bahasa
penulisan, intonasi digambarkan dengan penggunaan tanda baca Tanya (?) atau
seruan (!) atau kedua-duanya sekali.
Aspek intonasi
penting dalam pengucapan kerana boleh memberi mesej yang lebih jelas tentang
tujuan pengucapan dibuat. Contohnya apabila memarahi orang, mesej yang ingin
disampaikan ialah perasaan marah. Oleh itu intonasi tinggi atau keras
digunakan.
Apabila ingin
memujuk seseorang, intonasi rendah pula yang digunakan. Ini kerana memujuk
orang perlu dengan nada lembut (iaitu nada rendah) dan bukan nada tinggi.
Memujuk dengan nada tinggi akan menggambarkan unsur paksaan.
Ayat Penyata
Ayat penyata
ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat sesuatu pernyataan atau memberi
keterangan tentang sesuatu hal. Ayat penyata berakhir dengan tanda nokhtah (.).
Nada rendah digunakan dalam ayat-ayat penyata. Tiada ada penegasan nada atau
nada tinggi dalam penggunaan ayat penyata. Tujuan ayat penyata ialah utuk
memberi keterangan.
Contoh:
1 . Kakak saya sedang tidur.
2 . Emak saya pergi ke kedai.
3 . Dia sedang memetik bunga di taman.
4 . Bola itu berwarna biru.
5 . Har ini hari Khamis.
Dalam ayat-ayat
di atas, nada yang digunakan adalah nada mendatar.
Ayat Tanya
Ayat tanya ialah
ayat yang digunakan untuk bertanyakan sesuatu atau bertanyakan seseorang. Ayat
tanya disertai dengan tanda tanya (?). Tujuan ayat tanya ialah untuk mendapat
sesuatu jawapan.
Ayat tanya
mempunyai nada tinggi.
Ayat tanya
terbahagi dua iaitu ayat tanya terbuka dan ayat tanya tertutup.
(a) Ayat Tanya
Terbuka ialah ayat tanya yang memerlukan jawapan yang berupa penerangan. Ayat
tanya mempunyai kata tanya (apakah, siapakah) sama ada di pangkal ayat atau di
hujung ayat.
Contoh:
1 . Apakah yang dibeli oleh emak?
2 . Kamu ini siapa?
3 . Siapakah lelaki yang memakai topi itu?
4 . Warna manakah pilihan anda?
5 . Apakah yang menyusahkan hatimu?
(b) Ayat Tanya
Tertutup ialah ayat tanya yang meminta jawapan yang tegas dan tepat iaitu sama
ada ‘ya/benar’ atau ‘tidak/bukan’
Contoh:
1 . Kamu mahu pergi atau tidak?
2 . Sudah siap atau belum?
3 . Setuju?
Ayat Perintah
Ayat perintah
ialah ayat yang digunakan untuk menyuruh atau memerintah seseorang supaya
melakukan sesuatu. Ayat perintah mempunyai nada tinggi dan tegas bergantung
kepada jenis ayat perintah berkenaan.
Terdapat empat
jenis ayat perintah iaitu:
(a) Ayat Suruhan
(b) Ayat Larangan
(c) Ayat Silaan
( (d) Ayat Permintaan
(a) Ayat Suruhan
ialah ayat yang dituturkan dengan motif untuk memberi perintah atau menyuruh
orang berbuat sesuatu. Ayat Suruhan mempunyai nada tinggi dan tegas.
Contoh:
1 . Basuh baju ini!
2 . Pergi kau dari sini!
3 . Balik sekarang!
(b) Ayat Larangan
ialah ayat perintah yang melarang orang melakukan suatu. Perintah yang
diberikan adalah perintah untuk tidak melakukan sesuatu. Ayat
ini juga mempunyai nada tinggi dan tegas jika larangan tersebut bersifat
paksaan, dan bernada rendah jika larangan tersebut berbentuk rayuan atau
keluhan.
Contoh:
1 . Jangan kacau aku! (nada tinggi)
2 . Usah dikenang peristiwa lalu (nada rendah)
3 . Kau jangan datang lagi (nada tinggi)
(c) Ayat Silaan
ialah perintah yang tidak mempunyai ketegasan sebaliknya bersifat rayuan dan
pelawaan. Nada rendah digunakan untuk ayat jenis ini.
Contoh:
1 . Silalah masuk.
2 . Sudi apalah kiranya datang ke rumahku.
3 . Jemputlah makan.
(d) Ayat
permintaan juga tidak bersifat tegas. Oleh kerana orang yang menuturkan ayat
ini ingin meminta sesuatu maka nada yang digunakan adalah nada rendah tanpa
ketegasan.
Contoh:
1 . Semua harap bertenang!
2 . Tolong kemaskan meja ini.
3 . Harap dapat segerakan tugasan itu.
Ayat Seruan
Ayat seruan ialah
ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan dengan tujuan
untuk melahirkan gambaran tentang perasaan seperti takut, marah, geram, sakit,
hairan dan yang seumpamanya. Intonasi seruan digambarkan dengan tanda baca
seruan (!) pada hujung ayat.
Contoh:
1 . Wah, sungguh cantik rumahmu!
2 . Syabas, kita berjaya!
3 . Amboi, marahnya dia!